Budaya "couple" sememangnya merupakan antara corak hidup kebanyakkan remaja masa kini. Ianya menjadi identiti alaf kemodenan acuan Barat yang dicemari oleh nilai-nilai Sekularisme dan Hedonisme. Terlebih dahulu, hendaklah diketahui bahawa, cinta sememangnya naluri setiap insan. Cinta lawan jenis (antara lelaki dan perempuan) sememangnya merupakan suatu fitrah manusia. Maka, dapatlah difahami bahawa, budaya "couple" ini sememangnya natijah daripada sahutan terhadap naluri fitrah manusia yang bersifat saling cinta-mencintai.

Oleh yang demikian, Islam meletakkan landasan-landasan murni dalam memelihara fitrah tersebut dengan institusi perkahwinan. Oleh yang demikian, "couple" itu sebenarnya, jika merujuk kepada cinta antara seseorang lelaki dengan seseorang perempuan, maka ianya bersifat fitrah. Cuma, ianya perlu diikat dengan perkahwinan. Namun, fenomena "couple" dalam istilah khususnya, iaitu percintaan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan syar'ie (seperti perkahwinan atau pertunangan) perlulah sewajarnya dinilai dari sudut faktor-faktor yang mempengaruhi kewujudannya terlebih dahulu, sebelum menilainya dari neraca Islam kerana memahami realiti adalah satu juzuk dari keseibangan simpulan hukum menurut ulama' usul fiqh. 

Antara faktor-faktor wujudnya fenomena "couple" adalah: 
1) Fitrah Insani 
2) Pengaruh Media yang Membawa Nilai Hidup Barat
Peningkatan dan Perkembangan Sistem Pendidikan dan Kemasyarakatan Para remaja, disamping sibuk dalam bidang pendidikan, turut disibukkan dengan hiburan melalui media. 

Antara bentuk hiburan yang menjadi kegemaran mereka adalah hiburan yang membawa mesej percintaan, sesuai dengan fitrah mereka. Oleh yang demikian, media-media hiburan sebenarnyalah antara yang paling bertanggungjawab dalam merangsangkan lagi keinginan untuk bercinta di dalam diri para remaja. Setelah berlakunya gelora yang kuat untuk mencintai dan dicintai, mereka mendapati Islam memberi jalan penyelesaiannya iaitu, dengan perkahwinan. 

Namun, kebanyakkan remaja yang berkeinginan kuat dalam mencari tempat mencurah dan mengemis kasih, tidak mampu untuk berkahwin kerana halangan-halangan tertentu, seperti masih lagi di bangku pengajian, tidak mempunyai kewangan yang cukup dan sebagainya yang merupakan natijah dari perkembangan bidang pendidikan dan kemasyarakatan di era moden ini. Kalau di zaman umat Islam terdahulu, di samping tiada rangsangan dari media hiburan yang menjurus ke arah tersebut, tiada juga suatu bentuk sistem pendidikan dan kemasyarakatan yang begitu kompleks dan "protokolis" seperti zaman ini. 

Dahulu, anak muda mudi Islam berkahwin dalam usia yang muda apabila mereka (pada ketika itu) sudah mempunyai keinginan untuk "mencintai dan dicintai", di samping perbelanjaan untuk perkahwinan tidaklah terlalu tinggi. Di zaman moden ini, anak-anak muda seolah-olah seperti terikat dengan suatu mentaliti dualisme antara "cinta" atau "cita-cita". Budaya perkahwinan di alam pengajian tinggi juga tidak diberi galakan sewajarnya oleh masyarakat Islam moden, memaksa para muda-mudi yang terbelenggu dengan rangsangan mencari cinta yang semakin meningkat saban hari (hasil dari rangsangan media hiburan dan media massa yang menggalakkan budaya bercinta) dan halangan perkahwinan kerana masih belajar dan tidak berkewangan yang cukup untuk berkahwin kerana kos perkahwinan yang tinggi, mencari alternatif lain dalam memenuhi fitrah cinta mereka, dengan bentuk yang berbeza. Alternatif tersebut itulah yang dikenali dengan "couple", natijah dari tiga faktor utama tersebut. 

Kebanyakkan para ulama' muta'akhirin (terkini) seperti Dr. Ali Jum'ah (Mufti Mesir), Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (Mufti Qatar), Dr. Muhammad Ramadhan Al-Buti (ulama' besar Syria) dan sebagainya yang memahami realiti tersebut memberi pandangan yang amat sederhana dalam masalah "couple" ini. Menurut mereka, "bercinta" itu sendiri tidak salah. Cuma, perlulah dibatasi dengan syariat Islam, dan seboleh-bolehnya berkahwinlah jika sudah ada yang dicintai dan mencintai, kerana itu yang lebih baik. 

Para ulama' tersebut amat memberi galakan kepada muda-mudi untuk berkahwin di alam pengajian tinggi, sebagai penyelesaian utama bagi masalah "couple" ini, dan menyarankan agar masyarakat Islam memberi galakan dan bantuan kepada para penuntut Islam berkahwin sewaktu muda, jika sekiranya mampu membahagikan masa. Dr. Muhammad Ramadhan Al-Buti sendiri berkahwin pada umur 18 tahun, namun mampu mencapai kecemerlangan yang amat memberangsangkan dalam bidang akedemik dan pembelajaran. Begitu juga dengan Dr. Al-Qaradhawi yang berkahwin sewaktu berada di tahun 2 peringkat Ijazah Sarjana Muda sewaktu di Al-Azhar, bahkan menjadi mahasiswa Al-Azhar paling cemerlang di masa beliau. Beliau bahkan berkata: "kalaulah sebelum ini, saya mengetahui kebaikan dalam perkahwinan seperti yang saya ketahui kini (setelah berkahwin), nescaya saya akan berkahwin sejak dari tahun 1 lagi".

Jadi, bagi mereka, penyelesaian utama untuk menjaga anak-anak muda dari terjebak ke kencah maksiat adalah dengan perkahwinan di usia yang awal. Jika terdapat halangan-halangan lain, yang menghalang anak-anak muda berkahwin awal, seperti tiada kewangan, tidak mampu membahagikan masa dalam pengajian dan sebagainya, maka langkah yang kedua ialah dengan pertungangan (Al-Khitbah).

Pertunangan dalam Islam sebenarnya amat mudah, iaitu, cukup dengan pengetahuan ahli keluarga kedua-dua pihak samada lelaki atau perempuan, dan persetujuan kedua-duanya yang sudah saling mengenali antara ahli keluarga lelaki dan ahli keluarga perempuan tersebut. Sudah cukup dengan persetujuan antara kedua-dua pihak (lelaki dan perempuan) dan pengetahuan dan persetujuan antara ahli keluarga kedua-dua pihak untuk dianggap sebagai pertunangan dalam Islam. 

Pertunangan, walaupun belum lagi suatu landasan sempurna dalam memelihara hubungan cinta sesama lelaki dan perempuan, tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan kemungkinan timbulnya fitnah dari kalangan masyarakat, risikan pihak ketiga terhadap perempuan tersebut dan sebagainya. Dalam tempoh tersebut juga, perlulah menjaga batas-batas syariat antara seseorang dengan bukan mahramnya. Jika pertunangan juga belum lagi mampu dilakukan, namun tetap timbulnya percintaan sesama lelaki dan perempuan, maka ianya juga perlulah dibatasi dengan batas-batas syariat, seperti tidak boleh berdua-duaan di tempat yang sunyi, seperti di kawasan-kawasan terpencil, di dalam kereta dan sebagainya, bagi mengelakkan timbulnya fitnah. Dr. Al-Qaradhawi dan Sheikh Atiyyah As-Saqqar lebih cenderung untuk tidak menggalakkan percintaan sebelum ada ikatan tidak syar'ie (seperti perkahwinan dan pertunangan), kerana ianya membawa kepada banyak perkara negatif berbanding perkara positif. Bahkan, Dr. Al-Qaradhawi menegaskan juga bahawa, percintaan sebelum perkahwinan tidak selalunya berakhir dengan kesudahan yang mengambirakan (perkahwinan), bahkan selalunya berakhir dengan penyesalan dan perpisahan.

Kesimpulannya, "couple" itu sendiri tidak ada hukum yang khusus, kerana ianya merupakan suatu yang abstrak. Kalaulah ianya merujuk kepada cinta, maka ianya mubah (dibolehkan) kerana sememangnya fitrah manusia, tetapi perlulah diikat dengan ikatan murni syariat Islam iaitu perkahwinan atau pertunangan. Dalam tempoh pertunangan juga, pasangan perlulah menjaga hubungan mereka dengan batasan-batasan syari'at seperti, tidak berkhalwat (bersunyi-sunyian atau berdua-duaan di tempat sunyi), tidak bercakap dengan perkara-perkara yang tidak syaríe dan membawa kepada syahwat , tidak melakukan perkara-perkara maksiat mungkar dan sebagainya. Adapun budaya "couple", percintaan tanpa ikatan syaríe, walaupun ianya tidak di galakkan, namun jika sememangnya sudah terjebak dengan amalan tersebut, dari dorongan fitrah yang murni, maka jagalah batas-batas syariát yang di sebutkan sebelum ini, di samping bersegeralah dalam mengikatnya dengan ikatan-ikatan syaríe supaya dapat mengelakkan banyak masalah lain dan menghindarkan diri dari terjerumus dalam lembah maksiat.Jika masih belum lagi terjebak dengan amalan "couple"ini, maka cubalah sedaya-upaya untuk tidak terjebak di dalamnya. Apabila sudah bertemu dengan idaman hati, maka bersegeralah dalam membina ikatan syariat (perkahwinan).
Jika masih belum berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga, maka hindarilah dari memikirkan persoalan-persoalan tentang cinta tersebut dengan menyibukkan diri dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran, sosial dan sebagainya.

Alfaqir sekadar menaqalkan perbahsan-perbahasan ulama'untuk kemanfaatan umum mengenai permasalahan ini. Semoga Allah SWT menerima kita sebagai kekasih-NYA seterusnya mencampakkan nur kasih-NYA di dalam hati kita dan seterusnya menjadikan hanya cinta-NYA lah harapan kita. Allahumma Aamiin Ya Allah Ya Rabbal A'laamiin



Thanks for reading.leave your comment

0 comments:

Post a Comment

THANK FOR READING
LEAVE YOUR COMMENT